Tuesday, 16 August 2011

KENYATAAN LENGKAP OLEH : SAHIBUS SAMAHAH DATO’ SERI HAJI HASSAN BIN HAJI AHMAD MUFTI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG.


KENYATAAN MEDIA BERKAITAN ISU MEMBACA AL QURAN
SEBELUM WAKTU SUBUH DENGAN MENGGUNAKAN PEMBESAR SUARA
OLEH : SAHIBUS SAMAHAH DATO’ SERI HAJI HASSAN BIN HAJI AHMAD
MUFTI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
TARIKH : 15 OGOS 2011

KRONOLOGI ISU
 1. Perbincangan mengenai isu ini adalah di atas dasar pemerhatian dan realiti yang berlaku di kebanyakan masjid dan surau di negeri Pulau Pinang selain aduan melalui telefon dan email daripada orang awam bertanyakan hukum mengenainya.

2. Keputusan Mengenai Membaca Al Quran Sebelum Waktu Subuh Dengan Menggunakan Pembesar Suara adalah dibincang dan diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 2/2011 bertarikh 7 April 2011 dan disahkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 3/2011 bertarikh 16 Jun 2011.

3. Mesyuarat turut memutuskan agar keputusan tersebut dipanjangkan kepada qaryah-qaryah masjid seluruh negeri Pulau Pinang melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP). Keputusan berkenaan telah dihantar kepada Pengarah JHEAIPP pada 12 Julai 2011 untuk tindakan selanjutnya kerana qaryah-qaryah masjid terletak di bawah pentadbiran JHEAIPP.

ASAS PERBINCANGAN DAN KUASA JABATAN MUFTI NEGERI PULAU PINANG

1. Perlu ditegaskan bahawa isu ini dibincang dan diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bukan atas arahan atau tekanan daripada mana-mana pihak sama ada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahupun mana-mana pertubuhan atau orang perseorangan.

2. Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang adalah satu jabatan yang bertanggungjawab menjawab dan menyelesaikan segala kemusykilan serta permasalahan berkaitan hukum Islam di negeri ini. Ia berdasarkan
peruntukan di bawah Seksyen 45 Enakmen Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 iaitu :-


Mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan
Agong berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan
dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak
berkuasa utama di Negeri Pulau Pinang selepas Yang di-Pertuan
Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini.

3. Jika merujuk kehendak Seksyen 48 (1), (2), (3), (4), (5), (6) dan (7) Enakmen Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004, berkaitan Tatacara pembuatan fatwa, keputusan ini bukanlah satu fatwa.
 4. Keputusan mesyuarat tersebut TIDAK DIWARTAKAN dan keputusan ini adalah sebagai satu NASIHAT HUKUM yang sering diputuskan sama ada melalui jawapan terus daripada Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dari semasa ke semasa atau dipohon pandangan terlebih dahulu daripada Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa. Ia merupakan suatu keputusan HUKUM sebagai panduan serta menjelaskan pandangan Islam tentang amalan tersebut kepada seluruh umat
Islam di negeri Pulau Pinang untuk diikuti dan dipatuhi.

5. Tatacara pembuatan fatwa mengikut kehendak Seksyen 48 (1), (2), (3), (4), (5), (6) dan (7) Enakmen Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 adalah seperti berikut :-

(1) Sebelum Jawatankuasa Fatwa membuat fatwa, Mufti boleh menyebabkan apa-apa kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan kertas kerja disediakan.

(2) Apabila Jawatankuasa bercadang hendak membuat fatwa, Mufti hendaklah memanggil suatu mesyuarat
Jawatankuasa Fatwa yang dicadangkan itu.

(3) Selepas fatwa disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa, Mufti hendaklah, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenannya bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta.

(4) Apabila fatwa itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Jawatankuasa Fatwa hendaklah memaklumkan Kerajaan Negeri tentang Fatwa itu dan selepas itu hendaklah menyebabkan fatwa itu disiarkan dalam Warta.

(5) Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.

(6) Sesuatu fatwa hendaklah disiarkan dalam bahasa kebangsaan dalam tulisan rumi, tetapi teks fatwa itu dalam tulisan jawi boleh juga disiarkan.

(7) Apa-apa pernyataan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa tidak boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika pernyataan itu disiarkan dalam Warta menurut subsyeksyen (4).

ULASAN SOHIBUS SAMAHAH DATO’ SERI MUFTI BERHUBUNG ISU BERKENAAN

1. S.S Dato’ Seri Mufti melahirkan kekesalan di atas segala kenyataan yang tidak professional dan tidak berhemah daripada semua pihak termasuk menuduh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang membuat keputusan secara melulu berkaitan isu tersebut.

2. Keputusan tersebut diputuskan adalah berdasarkan rasa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi menyatakan kebenaran dan ia bersandarkan dalil yang sohih.

3. Islam mensyariatkan untuk tidak mengangkat suara dengan kuat kecuali azan dan beberapa rutin ibadah lain seperti khutbah dan sebagainya. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi Muhammad SAW. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain wajib dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

4. Walaupun bacaan Al-Quran dan zikir amatlah baik, namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri atau ingin membacanya pada waktu lain atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang sedang tidur atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan Islam dan lain-lain.

5. Rasulullah S.A.W melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga mengganggu mereka yang lain yang sedang beribadah atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang sedang berada di dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi atau tumpuan terhadap solat mereka, mana mungkin untuk menguatkan suara bacaan melalui pembesar sehingga mengganggu mereka yang sedang berada di luar masjid.

6. Larangan ini adalah keputusan yang berlaku pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana hanyalah bagi mereka yang berada di dalam masjid sahaja, bagaimana jika Rasulullah dan para sahabat serta para ulamak dahulu melihat keadaan pembesar suara pada zaman kita ini, dengan itu memang wajar arahan meminta dielakkan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh menggangguorang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi Muhammad SAW dan juga menjaga Islam yang harmoni.

Ehsan dari : Jabatan Mufti Pulau Pinang

Di Laporkan Oleh : Jemsebon


Berita Menarik Penaga Daily