Thursday 30 June 2011

SIMPANG MAUT DI PERMATANG BENDAHARI MENDAPAT PERHATIAN PEGAWAI PENYELARAS KADUN PENAGA.

Permatang Rawa - Resah penduduk tentang simpang maut di Permatang Bendahari yang pernah diluahkan setahun yang lalu akhirnya diberi perhatian oleh Pegawai Penyelaras Kadun ( PPK ) Penaga , Hj Rosidi Hussain apabila masalah itu dipanjangkan ke JKR Daerah dan kerja-kerja untuk membina bonggol keselamatan sebagai langkah awal pencegahan kemalangan akan dijalankan dalam tempoh 2 minggu lagi.

Bonggol keselamatan yang akan dibina di simpang maut Permatang Bendahari.

Hj Rosidi yang ditemui oleh Penaga Daily di Permatang Rawa memberitahu bahawa beliau ada mengumpul data kemalangan di simpang tersebut dan dalam tempoh setahun tidak kurang dari 84 kemalangan telah berlaku di situ. Simpang yang mengelirukan tanpa papan tanda amaran yang dikatakan itu sebenarnya telah dipasang lampu amaran tanda berhati-hati namun masih ada pemandu yang cuai yang sering kali menyebabkan berlakunya kemalangan yang tidak diingini.

Sebelum simpang maut ini , PPK Penaga telah mengusahakan satu lampu isyarat berdekatan simpang empat ke Permatang Bendahari-Pantai Merdeka yang telah siap dipasang sejak sebulan yang lalu. Projek lampu isyarat di simpang tersebut adalah hasil permohonan PPK Penaga melalui JKR Daerah SPU setahun yang lalu yang merupakan permohonan sulong dari PPK Penaga dalam memastikan keselamatan masyarakat setempat.

Hj Rosidi dalam pertemuan itu juga mengucapkan terima kasih kepada JKR Daerah SPU yang telah meluluskan projek lampu isyarat tersebut dan melaksanakan mengikut jadual.

Lampu isyarat. KUNING berhati-hati.

" Kita harap masyarakat Penaga berpuas-hati dengan lampu isyarat di simpang ke Pantai Merdeka dan yang terbaru ini kita telah usahakan untuk bina bonggol keselamatan di Simpang Permatang Bendahari yang dikatakan simpang maut ini sebagai kerja awal dalam mengawal kadar kemalangan di lokasi tersebut " ujar beliau mengakhiri pertemuan pada petang itu. 

                      .............................................................................................


Rujukan berita setahun yang lalu yang dimuatkan di Utusan Malaysia.


Berapa lagi nyawa bakal melayang baru bertindak?

BEBERAPA penduduk melihat kawasan simpang empat yang tiada lampu isyarat di Permatang Bendahari, Penaga, Pulau Pinang, semalam.


KEPALA BATAS 12 April - Sampai bila kami perlu bersabar? Berapa lagi nyawa perlu melayang?
Itu antara luahan penduduk Kampung Permatang Bendahari, di sini yang kesal apabila permintaan mereka supaya lampu isyarat dipasang di sebuah simpang empat di kampung tersebut terus dipandang sepi pihak berkuasa.

Menurut mereka, laluan tersebut yang terkenal dengan julukan 'simpang maut' di kalangan penduduk, sudah meragut banyak nyawa sejak beberapa tahun lalu dan terbaru membabitkan sepasang suami isteri warga emas Sabtu lalu. 

Salah seorang penduduk, Wan Mohd. Termizi Wan Hamzah, 30, berkata, penduduk kampung itu dihantui kebimbangan seolah-olah hanya menunggu menjadi mangsa seterusnya selepas begitu banyak kemalangan yang berpunca daripada ketiadaan lampu isyarat.

''Anda boleh tanya penduduk kampung, hampir setiap minggu ada saja kemalangan yang berlaku ekoran kedudukan simpang empat ini yang mengelirukan terutamanya kepada orang luar.

''Malah, akhbar sudah beberapa kali menyiarkan kemalangan atau rungutan penduduk mengenai perkara ini tetapi pihak berkuasa masih bersikap endah tak endah," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Seorang peniaga, Azmi Mat Din, 44, pula memberitahu, perkara itu sudah diajukan kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak beberapa tahun lalu tetapi sehingga hari ini lampu isyarat tidak dibina di persimpangan tersebut.

Menurutnya, laluan berkenaan pada mulanya merupakan simpang tiga sebelum diubah kepada empat, berikutan aliran trafik yang semakin sibuk terutamanya bagi laluan berat yang sering berulang-alik dari sini ke Kuala Muda, Kedah.

''Kami berasa sangat pelik kerana melihat kepada kes-kes kemalangan yang berlaku, jelas ada keperluan mendesak supaya lampu isyarat dibina. Berapa lagi nyawa perlu melayang baru JKR hendak bertindak?" tegasnya.

Pandangan itu disokong seorang lagi penduduk kampung tersebut, Abdullah Zainol, 35, yang pernah menyaksikan kemalangan di depan matanya sendiri beberapa bulan lalu.

''Saya harap jabatan berkenaan perlu ada rasa tanggungjawab, datang dan tengok sendiri keadaan laluan ini. Janganlah bersikap lepas tangan dengan memberi pelbagai alasan," katanya.

                           

Berita Menarik Penaga Daily